Platinum Ads
anep-enterprise anep-enterprise
Israk Mikraj

Wednesday

Rosnah bertaubat, tak niat hina isteri Nabi

PETALING JAYA: “Jika masih ada yang tidak berpuas hati dan memandang saya manusia jahat, itu hak mereka. Tetapi saya sudah bertaubat atas keterlanjuran kata yang menyinggung umat Islam,” kata pelakon Rosnah Mat Aris.


Rosnah yang dihubungi Berita Harian semalam, juga memohon isu kontroversi mengenai kenyataannya dalam program secara langsung di TV3, Sensasi, minggu lalu tidak dipanjangkan lagi.

Baginya, perkara itu sudah berlalu dan apa yang mampu dilakukan ketika ini adalah memohon keampunan daripada Tuhan dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan yang mengundang padah.

“Saya tidak salahkan sesiapa, lagipun perkara itu sudah berlalu. Saya juga sudah bertaubat dan memohon keampunan atas semua kesilapan. Berilah saya peluang dan jangan diperbesarkan lagi perkara ini.

“Demi Tuhan, saya tidak berniat menghina isteri Nabi Muhammad SAW yang paling disayangi Baginda. Siapa saya untuk berbuat begitu sedangkan diri saya sendiri pun jauh daripada sempurna,” katanya.

Rosnah berkata demikian sebagai mengulas tindakan Dewan Pemuda Pas Pusat (DPP Pusat) menghantar memorandum kepada TV3 sebagai membantah kenyataannya yang disifatkan menyindir dan menghina Nabi Muhammad SAW dalam program Sensasi pada 30 Januari lalu.

DPP Pusat yang diwakili Pegawai Perhubungan Awam, Safarizal Saleh menyerahkan memorandum dua muka surat itu kepada Pengurus Besar Pengurusan Siaran TV3, Abdul Rashed Kushi di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, tengah hari semalam.

Rosnah dalam rancangan Sensasi mengeluarkan kenyataan secara sensitif mengenai usia isteri Rasulullah SAW, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi tidak puas hati umat Islam.

“Jangan saya terus dihukum atas kesilapan yang tidak disengajakan. Tidak ada manusia yang hendak berbuat silap. Masyarakat di luar tidak tahu apa yang berlaku ketika itu. Ia sudah terjadi, saya tidak boleh menariknya kembali.

“Selama seminggu ini, saya memohon kepada Tuhan supaya diampunkan kesilapan saya. Saya juga sekali lagi ingin memohon maaf kepada semua umat Islam kerana apa yang berlaku adalah di luar kawalan.

“Jangan saya digam kerana saya perlu bekerja untuk menyara empat anak,” katanya mengakui kesilapan itu memberi pengajaran berguna buat dirinya.

No comments:

 
Blog@nEp$ter
Direka oleh (hanif575)