Siapa Sepak Kucing Malang Itu?
“Meoww!!!” seekor kucing menjerit kesakitan.
Malam itu malam yang malang buat si kucing. Dia tidur dengan kesakitan dan
kemarahan. Perutnya senak disepak tanpa hujung pangkalnya.
“Apa salah aku?” menung si kucing di balik almari.
PETANG ITU
“Kenapa awak lewat fakskan dokumen tersebut?” tanya seorang CEO kepada
setiausahanya.
“Err, Pengurus Jualan lewat menyerahkannya kepada saya” jawab beliau.
Terketar-ketar.
“Ahhh! Macam-macam alasan awak. Saya bosan mendengarnya. Pergi semula
kepada Pengurus Jualan dan betulkan dokumen tersebut. Sudahlah lewat. Salah
pula tu!” bentak bos besar.
Marah sungguh.
Setiausahanya dengan muka yang merah padam meninggalkan pejabat beliau
menuju kepada Pengurus Jualan.
“Itulah tuan! Tuan yang lewat serahkan dokumen tersebut, saya pula yang
kena marah. Dokumen salah pula tu!” kata Setiausaha CEO tersebut.
Pengurus Jualan terkejut.
“Awak kalau nak berurusan dengan saya, ketuk pintu dahulu. Itu pun awak tak
tahu ke?” Pengurus Jualan meninggikan suara.
“Ahhh! Sudahlah. Ketuk pintu ke, tak ketuk pintu ke, Tuan tetap lewat
serahkan semuanya kepada saya. Ambil dokumen ini dan betulkan semula!”
Setiausaha CEO menghempas segenggam dokumen itu ke meja.
Beliau terus meninggalkan Pengurus Jualan.
Sama-sama marah.
Petang itu sungguh tercemar bagi Pengurus Jualan. Geram dengan sikap
Setiausaha CEO yang tidak tahu berbudi bahasa. Geram dan marah dirinya
diburukkan lagi oleh kesesakan jalanraya luar biasa.
“Aduh! Sempatkah aku kejar siaran Berita malam ini?” Pengurus Jualan sudah
bengang.
Kemungkinan besar beliau tidak sempat melihat siaran temuramah siaran
Berita TV10 dengannya siang tadi. Tiba di rumah, jam sudah mencecah 8:30
malam. Sebaik sahaja beliau melangkah masuk ke rumah, isterinya dengan
wajah berkerut di dahi menunggu di ruang tamu.
“Kenapa dengan awak?” tanya Pengurus Jualan kepada isterinya.
“Abang pakai baju comot sangat di televisyen tadi. Kawan saya telefon.
Katanya saya tak jaga makan pakai suami!” kata sang isteri yang sebenarnya
mahu bergurau dengan suami.
“Ahhh! Aku banyak masalah, itu pula yang disibukkannya! Makan malam dah
siap ke???” tengking si suami yang sedang baran.
Si isteri sangat terkejut dengan amarah suaminya malam itu. Niat asal mahu
bergurau berubah menjadi musibah. Tanpa banyak bicara beliau segera menuju
ke dapur.
“Mama, tengok lukisan Adam! Cantik tak?” tiba-tiba si anak muncul di dapur
dengan sekeping lukisan di tangan.
“Ahhh, sibuk sahaja kamu ni. Lukisan, lukisan, lukisan. Menghabiskan kertas
A4 sahaja. Pergi naik atas buat kerja sekolah!” si ibu menengking anaknya.
Adam sungguh terkejut. Tidak sangka lukisannya berakhir dengan kemarahan si
ibu.
Tiba-tiba kucing kesayangannya datang menggosok-gosokkan badan di kaki
Adam.
“Meowww!!!” kucing itu menjerit.
Adam menyepak si kucing dengan penuh kemarahan.
Soalannya, siapakah sebenarnya yang menyepak si kucing malang itu?
Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi
sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan meminta wasiat (nasihat) daripada
Baginda. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:
“Janganlah kamu marah! (Baginda mengulangnya beberapa kali dengan pesan
yang sama: Janganlah kamu marah! Janganlah kamu marah! Janganlah kamu
marah!” [Hadith riwayat al-Bukhari]
Besarlah pahala suami, isteri, anak, malah majikan, atau setiausahanya yang
berjaya memberhentikan musibah berantai ini.
No comments:
Post a Comment