Platinum Ads
anep-enterprise anep-enterprise
Israk Mikraj

Thursday

Rasuah di tempat kerja

“Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dll)” ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih)

Menerusi email dan soalan yang kerap saya terima, berikut adalah antara beberapa bentuk untung atas angin dan penyelewengan yang kerap berlaku dalam industri kerja samada kerajaan, swasta, NGO, Persatuan, sekolah, Parti Politik dan lain-lain organisasi :-

1) Rasuah dalam memilih : Pegawai yang bertanggungjawab memilih kontraktor untuk iklan, pembersihan, latihan dll untuk syarikat atau organisasinya. Pihak pegawai memilih syarikat ‘Z’ dari empat syarikat lain yang menghantar ‘quotation’ kerana oleh syarikat ‘Z’ itu berjanji memberikannya sedikit imbuhan ‘ikhlas’.

Hukum : Ia adalah haram dan rasuah dalam Islam.

2) Mencipta ‘quotation’ sendiri : Pegawai atau kumpulan pegawai yang diberi kuasa membuat pemilihan kontraktor untuk syarikat. Dia atau mereka sepakat untuk memberinya kepada satu syarikat yang mereka kenali bukan kerana kualiti dan harganya tetapi kerana sebab-sebab lain. Disebabkan oleh prosedur syarikat yang memerlukan terdapat ‘quotation’ dari minimum daripada empat buah syarikat. Pegawai ini telah mencipta beberapa ‘quotation’ dari syarikat yang tidak wujud bagi menunjukkan

Hukum : Haram kerana menipu.

3) Menaikkan Harga : Pegawai diminta oleh majikan untuk mencari pembekal bahan mentah, pegawai berjaya mencari dengan harga RM 1500 tetapi menaikkannya kepada RM 2000, lalu baki RM 500 diambilnya.

Hukum : Ia adalah haram sepakat ulama.

4) Menang Tender Bersyarat : Pelaburan Pegawai diminta oleh majikan mencari kontraktor untuk ‘renovation’ pejabat atau apa jua aset syarikat. Pegawai telah mengempen syarikat ‘B’ kepada majikan disebabkan dia telah mempunyai perjanjian di sebalik tabir dengan pihak syarikat “B’ yang memberikannya izin untuk melabur wang peribadinya dalam syarikat ‘B’ dengan kadar keuntungan mengikut Islam ‘kononnya’. Padahal, jika tiada peluang ‘melabur’ itu, sudah pasti pegawai tidak akan mengempen syarikat ‘B’.

Hukum : Tindakan sebegini adalah haram dalam Islam dan ia termasuk dalam rasuah bentuk baru dan beselindung disebalik aktiviti pelaburan Islam.

5) Tuntutan Palsu : Pegawai membeli barang keperluan syarikat atau mengisi minyak dengan harga tertentu tetapi berpakat dan memohon pembekal atau stesyen minyak mengeluarkan resit dengan jumlah berbeza dari jumlah pembeliannya. Berbekalkan resit itu, pegawai membuat tuntutan kepada syarikat dengan harga berlipat kali ganda. Ini yang berlaku dalam kes-kes di atas.

Hukum : Ia adalah haram menurut Islam kerana penipuan kepada syarikat. Pihak pembekal juga berdosa kerana dikira bersubahat mengeluarkan resit berjumlah palsu itu.

6) Resit Harga Ciptaan : Pegawai membeli barang untuk kegunaan syarikat dari satu kedai, dan kedai tersebut enggan bekerjasama untuk menaikkan harga dalam resit. Bagi meraih keuntungan, pihak pegawai telah mencipta resit sendiri berserta cop palsu.

Hukum : Ia adalah haram dalam Islam kerana penipuan.

7) Ambil Untung Sendiri : Pegawai diberi oleh syarikat ‘budjet maksima’ sebanyak RM 5000 untuk membeli satu barangan keperluan syarikat. Pegawai berjaya mencari di pasaran terbuka barang yang diperlukan dengan harga RM 4000 sahaja. Bagi mendapat manfaat, si pegawai telah berpakat dengan penjual agar dituliskan harga RM 5000 dalam invoice dan baki RM 1000 hendaklah diberi kepadanya.

Hukum : Ia adalah haram kerana penipuan dan wang khianat sebagaimana yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. Bagaimanapun, jika ia berterus terang dengan majikan sambil memohon sebarang insentif atas kejayaannya mengurangkan kos syarikat kerana kecekapannya mencari barang yang lebih murah, tatkala itu, majikan harus memberikannya jika ia tidak menyalahi mana-mana undang-undang syarikat. Jika tidak, majikan akan mengambil kira kejayaan itu dan membayarnya dalam bonus dan kenaikan gaji apabila sampai waktunya sahaja.

8) Guna Khidmat Syarikat Sendiri : Soalannya seperti berikut : – “Saya bekerja dengan majikan, dalam masa yang sama membuat perniagaan membekal barang-barang untuk majikan menggunakan syarikat saya tanpa pengetahuan majikan?”

Hukum : Ia lebih cenderung kepada hukum haram terutamanya jika anda menggunakan kuasa anda sebagai pegawai yang diberi tanggungjawab untuk mempengaruhi keputusan pemilihan pembekal.

Walaubagaimanapun jika majikan telah diberitahu dan mereka bersetuju tanpa sebarang syarat-syarat seperti rasuah seperti ‘mesti memberikan komisyen kepadanya pula’ ; maka ia boleh dikira harus dan halal, terutamanya apabila syarikat anda memang punyai kualiti dan mampu menawarkan harga kompetitif berbanding syarikat pembekal lain.

Wang Yang Diperolehi Dari Kerja Yang Telah Diberi Gaji

Saya faham, ramai yang cuba mendapatkan ’side income’ dari cara-cara yang disebut di atas, sambil melakukan tugasannya yang wajib. Ingatlah dua hadis berikut :-

a) Nabi bersabda :

” Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) ” ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Albani : Hadith Sohih ; Ma’alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

b) Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata :

“ini untukmu ( bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda :” Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)” ( Al-Bukhari & Muslim )

No comments:

 
Blog@nEp$ter
Direka oleh (hanif575)