Platinum Ads
anep-enterprise anep-enterprise
Israk Mikraj

Tuesday

Hukum McDonald, KFC, MAXIS & Syarikat Yahudi

Yahudi : Makan, Beli, Jual

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Begitu banyak soalan yang datang kepada saya dan kedengaran di sana sini berkenaan hukum membeli barangan halal yang dikeluarkan oleh syarikat Yahudi khususnya dan bukan Islam umumnya. Ia menjadi satu persoalan yang semakin hangat disebabkan sikap Yahudi yang berterusan menyerang negara umat Islam. Demikian juga Amerika.

Saya ada terbaca kempen dari orang awam dan beberapa ilmuan yang mewarwarkan hukum haram jika membeli barangan dari syarikat yang dimiliki oleh Yahudi sepenuhnya atau salah seorang pemilik syarikat tersebut adalah Yahudi.

Akibatnya timbul kempen memboikot syarikat-syarikat tertentu dan boikot yang disebarkan melalui email dan internet. Syarikat seperti McDonald, Kentucky Fried Chickhen, TESCO dan lain-lain syarikat yang dikatakan dimiliki oleh Amerika, Yahudi atau mempunyai hubungan dengan mereka secara langsung atau tidak langsung adalah syarikat yang kerap dijadikan bahan utama.

Tidak terkecuali juga beberapa buah syarikat yang dimiliki oleh bukan Islam seperti Maxis dan lain-lain. Saya juga pernah membaca dan mendengar ada yang berusaha menimbulkan semangat berkobar-kobar sehingga berkata bahawa sesiapa yang membeli dan menggunakan khidmat syarikat-syarikat ini maka samalah seperti membantu agama mereka, membunuh umat Islam dan banyak lagi. Adakah ini benar dari sudut pandangan Islam?.

Saya berharap tulisan ringkas saya ini dapat menjelaskan keadaan dan ia adalah berdasarkan pandangan beberapa nas dan pandangan ulama kontemporari. Saya tidak berhasrat untuk menulis panjang dan tulisan ini bukanlah sebuah kajian ilmiah bertaraf univeristi. Ia hanya jawapan yang diringkas dan dipermudahkan bagi bacaan orang awam sahaja. Saya juga tiada sebarang kepentingan dalam semua syarikat yang disebutkan namanya di atas dan yang lainnya, tulisan ini adalah dibuat atas dasar penyebaran ilmu Islam di atas landasan ilmu sahaja.

Asas Hukum

Pertamanya, elok kiranya saya cuba menjelaskan hukum berjual beli dengan orang Yahudi atau dengan mana-mana syarikat yang dimiliki oleh individu Yahudi. Bagi mendapatkan kejelasan dalam isu ini, fakta berikut perlu difahami sebaiknya:-

a) Allah SWT menghalalkan umat Islam memakan sembelihan ahli kitab yang di antara mereka adalah Yahudi. Ini bermakna berurusan dengan Yahudi dan barangan yang dihasilkannya selagi menepati kehendak Allah adalah diharuskan.

b) Allah SWT juga menghalalkan lelaki Islam untuk berkahwin dengan wanita Ahli Kitab yang suci dan baik dengan syarat ia bertujuan kebaikan kepada wanita tersebut. Perihal halal berkahwin dan makan sembelihan ahli Kitab termasuk Yahudi ini disebut dengan jelas dalam ayat berikut : -

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلُّ لَّهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلاَ مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ

Ertinya : "Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengawini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar maskawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik.." ( Al-Maidah : 5 )

Jika perkahwinan dibenarkan, sudah tentu jual beli lebih lagi akan termasuk dalam kategori dibenarkan oleh Islam (selagi mana menurut syarat jual beli Islam).

c) Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu :-

‏أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ

Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)

Imam Bukhari menamakan bab yang mengandungi hadith ini dengan nama

بَاب الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ مَعَ الْمُشْرِكِينَ وَأَهْلِ الْحَرْبِ

Ertinya : Bab berjual beli dengan kafir musyrikin dan musuh perang.

Kemudian Imam Ibn Hajar Al-Asqolani pula dalam huraiannya menyatakan :-

واستدل به على جواز بيع السلاح من الكافر

Ertinya : Dan dalil ini dijadikan dalil bagi keharusan menjual senjata kepada orang kafir. ( Fath Al-Bari, Ibn Hajar, 5/142 )

Ini adalah kerana apabila Nabi Muhammad SAW mencagarkan baju besi baginda yang hanya digunakan untuk berperang, ini membuktikan hukum berjual beli dengan bukan Islam termasuk Yahudi adalah harus selagi mana cara aqad dan urusniaganya bertepatan dengan kehendak Islam. Hadis ini boleh dikatakan hujjah terkuat bagi membenarkan umat Islam membeli barangan keperluan dari Yahudi hatta makanan dengan cara berhutang sekalipun.

Ijma ( Sepakat ) Keharusan

Manakala Imam An-Nawawi pula ketika mensyarahkan hadith yang sama menyatakan :-

فيه جواز معاملة أهل الذمة والحكم بثبوت املاكهم على مافي أيديهم ...وبه قال الشافعي ومالك وأبو حنيفة وأحمد والعلماء كافة

Ertinya : hadith ini menunjukkan harusnya berurusan dengan ahli Zimmah ( kafir yang bukan tentera yang berperang dengan Islam) dan hukum ini membawa erti sabitnya pemilikan barangan itu oleh mereka...dan demikian ini adalah pandangan Imam As-Syafie, Imam Malik dan Abu Hanifah serta Imam Ahmad dan seluruh ulama" ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40 )

Imam An-Nawawi menyambung :

وأما اشتراء النبي الطعام من اليهودي ورهنه عنده دون الصحابة فقيل فعله بيانا لجواز ذلك وقيل لأنه لم يكن هناك طعام فاضل عن حاجة صاحبه الا عنده وقيل لأن الصحابة لا يأخذون رهنه صلى الله عليه وسلم ولا يقبضون منه الثمن فعدل إلى معاملة اليهودي لئلا يضيق على أحد من أصحابه

Ertinya : Nabi membeli makanan dari Yahudi serta mencagarkan baju besinya dan tidak dilakukan kepada sahabat adalah dikatakan sebagai tanda keharusan melakukan demikian (berurusan dengan Yahudi dan bukan Islam walaupun terdapat orang Islam), sebahagian ulama yang lain pula mengatakan (nabi tidak beli dari sahabat) kerana mereka tiada makanan lebihan untuk dijual kepada nabi, ada juga yang mengatakan para sahabat tidak menerima cagaran Nabi serta tidak mahu menerima sebarang bayaran dari Nabi sehingga menyebabkan Nabi berurusan (kerana tidak mahu menyusahkan sahabatnya) dengan Yahudi agar tidak memberatkan sahabatnya. ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40)

وقد أجمع المسلمون على جواز معاملة أهل الذمة وغيرهم من الكفار إذا لم يتحقق تحريم ما معه لكن لا يجوز للمسلم أن يبيع أهل الحرب سلاحا وآلة حرب ولا يستعينون به في اقامة دينهم.

Telah ijma' atau sepakat seluruh umat islam keharusan urusan dengan ahli zimmah dan lain-lain orang kafir selagi mana (urusniaga itu) tidak jatuh dalam perkara haram. Tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka " ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40)

Justeru, telah ijma' berkenaan keharusan membeli dan menjual samada kepada Yahudi, Nasrani (Kristian), Buddha, Hindu dan lain-lain selagi mana mereka tidak terlibat secara langsung (dan rasmi) memerangi Islam, transaksi pula dilakukan bertepatan dengan Islam. Di samping hujah-hujah yang sohih di atas ia juga disokong lagi oleh sebuah hadis dhoif iaitu :-

روى الخلال بإسناده عن عطاء قال نهى رسول الله عن مشاركة اليهودي والنصراني إلا أن يكون البيع والشراء بيد المسلم

Ertinya : Diriwayatkan oleh al-Khallal dengan sanadnya dari Ato' berkata : Rasulullah SAW melarang dari bermusharakah dengan Yahudi dan nasrani kecuali jika jual belinya ditangan orang Islam ( menuruti Shariah)" ( Al-kafi fi Fiqh al-Hanbali, 2/257 ; Al-Mubdi' , Ibn Mufleh, 5/4; Ibn Qayyim : Dhoif sanadnya kerana mursal : Ahkam Ahli Zimmah, 1/556 )

d) Para sahabat juga berurusan jual beli dengan orang kafir termasuk Yahudi. Bukan Nabi Muhammad SAW sahaja yang berurusan demikian, malah para sahabat baginda lebih kerap melakukannya dimana mereka juga terbabit dalam jual beli dengan Yahudi, Nasrani, Musyrik dan lain-lain. Sebagai bukti adalah firman Allah :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللّهُ مِن فَضْلِهِ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberikan kekayaan kepadamu dari karunia-Nya

Ayat ini secara langsung memberikan kefahaman kepada kita bahawa para sahabat Nabi sebelum Allah SWT melarang orang kafir dari memasuki masjidil haram, mereka kerap dan cukup banyak berurusan samada jual atau beli dari si kafir dan yahudi.

Ini disebutkan oleh Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya :-

وكان المسلمون لما منعوا المشركين من الموسم وهم كانوا يجلبون الأطعمة والتجارات , قذف الشيطان في قلوبهم الخوف من الفقر وقالوا : من أين نعيش . فوعدهم الله أن يغنيهم من فضله .

Ertinya : Orang-orang Islam apabila Allah melarang orang Musryik dari masuk (berniaga) pada musim perniagan sedangkan mereka dulu lah yang membawa makanan dan pernigaaan, maka syaitan mulai melontarkan dalam hati umat Islam takut dan bimbang mereka akan jatuh faqir, ( kerana tiada pelanggan dan pembekal), sehingga ada antara mereka berkata : " Bagaimana kami nak hidup" , tatkala itu Allah SWT menjanjikan kepada mereka kurniaan rezeki dari sisiNya" ( Al-Jami' Li Ahkami Quran, 8/106 )

Imam Fakhruddin Ar-Razi pula menegaskan :

وحملوا الطعام إلى مكة وكفاهم الله الحاجة إلى مبايعة الكفار

Ertinya : Orang-orang Islam dari Jeddah, Sana'a dan Hunain itu membawa makanan ke Mekah (untuk dijual) dan Allah SWT mencukupkan mereka dengan jual beli dengan orang Kafir" ( Tafsir Al-Kabir, Ar-Razi, 16/22 )

Hasilnya, jelas bahawa para sahabat juga berurusniaga dengan orang kafir. Nabi SAW juga masih hidup tatkala itu dan membiarkan urusan itu tanpa sebarang larangan dan tegahan. Malah setelah kafir dikeluarkan dari masjidil haram, para sahabat masih berniaga dengan mereka di sebelah luar, bukti terjelas adalah tindakan Nabi SAW sendiri membeli makanan dari Yahudi, Nabi juga wafat dalam keadaan hutangnya belum selesai dengan Yahudi ini. Isu hutang Nabi ini dibincang panjang lebar oleh ulama silam. Saya tidak berhasrat mengulasnya di sini.

Saya kira kumpulan dalil dan huraian ringkas di atas sudah cukup untuk kita mendapat kefahaman hukum berkaitan ursniaga dengan Yahudi, syarikat yang dimiliki Yahudi atau lain-lain agama.

Agenda Boikot bagaimana?

Tidak dinafikan sama sekali bahawa umat Islam perlu melakukan sesuatu jika Yahudi atau lain-lainnya melakukan suatu jenayah dan kebiadapan terhadap Islam. Benar, umat Islam perlu bersatu padu dan bergabung kekuatan bagi memberikan pengajaran kepada mana-mana pihak yang memulakan kejahatan terhadap Islam. Saya juga tidak mahu melemahkan semangat kempen ini, cuma orang ramai perlu tahu antara hukum dan keutamaan. Jangan nanti jika ada di antara kita yang melihat rakan terlibat dengan mana-mana syarikat tadi lalu dituduhnya kafir, munafiq, pembantu Yahudi dan lain-lain.

Menurut para ulama kontemporari, cara yang dikira aman di zaman ini adalah dengan melakukan pemboikotan dari membeli barangan semua syarikat di bawah telunjuk mereka. Justeru, ia adalah salah satu cara yang paling berkesan buat orang awam islam di seluruh dunia.

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyatakan bahawa boikot seperti ini adalah bertujuan memberikan tekanan kepada pengusaha dan peniaga yang seangkatan dengan para penyerang agar mereka sendiri mendesak kerajaan mereka kepada keamanan selain mereka akan membenci tindakan kerajaan dan rakan seagama mereka yang melakukan kejahatan terhadap Islam.

Ia juga dijangka dapat memberikan kesan ekonomi yang buruk kepada negara mereka sekaligus membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan kejahatan dan serangan terhadap Islam.

Walaubagaimanapun, adakah perlu kita menjadikan seluruh Yahudi di seluruh dunia tanpa mengira mereka membantu serangan atau tidak secara umum?. Atau bagaimana?

Menurut pendapat spontan saya, kita perlu membezakan di antara hukum dan keutamaan (afdhaliyah). Secara mudahnya, hukum berurusan dengan mereka sentaisa halal selagi mereka tidak terlibat secara langsung dengan peperangan, cuma yang afdhalnya tidak berurusan tatkala Islam sedang diserang oleh bangsa mereka. Bagi memahami hal ini, perkara berikut perlu dilihat :-

1) Hukum asal urusniaga dengan Non-Muslim termasuk Yahudi dan semua syarikatnya adalah halal selagi transaksi yang dibuat menrut syarat jual beli Islam.

2) Kewujudan syarikat-syarikat ini di negara Yahudi dan MoU perniagaannya di negara Yahudi tidak boleh dianggap sebagai membantu kerja keganasan Yahudi. Justeru, sebarang pembuktian seperti ini tidak kuat untuk mensabitkan bantuan 'direct' kepada kerja jahat Yahudi atau lainnya.

3) Hukum asal ini hanya akan bertukar kepada haram berurusniaga atau wajib memboikot mereka jika :-

a- Pemerintah Islam tertinggi iaitu Khalifah bagi seluruh dunia Islam mengarahkan boikot demi mencapai maslahat tertentu untuk Islam. Ia adalah kerana Allah SWT memerintahkan umat Islam agar mentaati pemerintah dalam hal ehwal yang tidak bercanggah dengan Islam. Peirntah ini tercatat di dalam Al-Quran. Hal ini dapat dilihat dalam tindakan Khalifah Umar al-Khattab yang mengarahkan seorang sahabat agar menceraikan isterinya dari kalangan Ahli Kitab dari negara Rome atas dasar 'maslahat' iaitu untuk menjaga kepentingan wanita Muslimat di ketika itu. Tatkala itu, perkara harus tadi sudah menjadi larangan sementara waktu disebabkan arahan pimpinan Islam (Nizam Al-Usrah Fil Islam, Dr Uqlah)

Malangnya di ketika tiadanya seorang khalifah yang bertanggung jawab bagi seluruh umat islam, adalah sukar untuk menggunakan peruntukan kewajiban ini. Sekadar fatwa ulama besar seperti Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi masih tidak mampu menjadikan hukum boikot sebagai wajib buat setiap individu umat Islam. Ia masih berada dalam lingkungan 'afdhal' atau 'elok' sahaja dan tidak wajib untuk boikot dan tidak haram untuk terus berurusniaga.

Tiada Khalifah Islam

Di waktu tiadanya khalifah tertinggi Islam, menurut Prof. Dr Syeikh Muhammad 'Uqlah El-Ibrahim (Prof Fiqh di Jordan), tugas 'ulil amri' itu jatuh kepada kerajaan umat Islam di negara masing-masing. Jika demikian, Sultan, Perdana Menteri atau JAKIM adalah wakil urusan tersebut di Malaysia, maka sekiranya ada di antara pihak ini menyatakan keperluan boikot secara rasmi, tatkala itu adalah wajib ke atas setiap individu umat Islam di malaysia untuk memboikotnya. Jika tidak, adalah sukar didapati sebarang nas yang khusus lagi tepat cara pendalilannya bagi menjatuhkan hukuman wajib ke atas setiap umat Islam secara individu.

Justeru, di ketika tiadanya arahan rasmi dari kepimpinan sesebuah negara umat Islam, tindakan melakukan boikot tersebut adalah tergolong dari tindakan yang 'digalakkan' sahaja serta mendapat pahala sudah tentu bagi sesiapa yang melakukannya dengan niat yang betul. Iaitu mengutamakan barangan buatan umat Islam dan peniaga Islam disamping 'mendenda' syarikat milik Yahudi. Bagaimanapun, dari sudut hukum adalah tidak haram makan di McDonald, KFC dan membeli barangan harian dari mana-mana kedai dan pasaraya milik bukan Islam selagi mana barangan itu mempunyai tanda 'Halal' JAKIM dan yang diiktiraf serta belum tamat tempohya.

Dalil keutamaan ini antaranya adalah :-

جَاهِدُوا الْمُشْرِكِينَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُم

Ertinya : "Berjihadlah kamu menentang orang musryikin itu dengan harta kamu, dan diri kamu serta lidah kamu" ( Riwayat Abu Daud, no 2504, 3/10 ; Albani : Sohih )

Perbezaan & Perkembangan Baru

Cuma, di zaman kewujudan jemaah-jemaah Islam yang pelbagai di dalam negara Malaysia, pada hemat saya, sekiranya anda seorang yang komit dan telah memberikan satu 'bai'ah' atau janji setia dengan kepimpinan persatuan anda seperti ABIM, JIM, PAS, TABLIGH, HIZB TAHRIR, PPIM atau lainnya, dan mereka mewajibkan ahli mereka agar boikot. Tatkala itu mungkin boleh diperbincangkan hukumnya samada telah menjadi wajib ke atas ahli mereka atau tidak. Saya tidak berhasrat untuk membincangkannya di sini kerana ia akan memanjangkan tulisan ini. Mungkin ia lebih elok ditulis oleh tokoh-tokoh pimpinan persatuan dan jemaah tadi sendiri.

b- Syarikat tersebut mendedahkan secara terus terang dengan hebahan rasmi bahawa mereka memperuntukkan keuntungan mereka bagi menyokong serangan Yahudi ke atas negara umat Islam.

Ia seperti yang dilakukan oleh Starbuck dan lain-lain. Dan pendedahan ini mestilah jelas dan bukannya khabar angin tanpa hitam putih. Tatkala itu ia sudah termasuk alam hukum menjual senjata kepada tentera musuh yang menyerang Islam yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitab al-Majmu sebagai haram secara sepakat ulama.


Syarat Sebelum Sebaran

Perlu diingat, selagi tiada edaran khusus, specifik dan rasmi oleh syarikat terbabit yang menyatakan mereka menyokong dan membantu serangan atas nama syarikat, selagi itu hukum asal iaitu harus berurusniaga dengan syarikat itu akan tetap terpakai.

Sekadar salah seorang pemegang saham bertindak sendirian membantu pembinaan kuil, atau membantu serangan oleh Yahudi juga belum cukup kuat untuk mengubah hukum harus tadi kepada haram. Ini kerana ia adalah tindakan peribadi salah seorang pemegang saham sahaja dan bukannya polisi sebuah syarikat itu.

Jika sekadar maklumat tidak rasmi dan khabar angin sahaja yang menyebut kaitan syarikat dengan gerakan ganas Yahudi. Tatkala itu, kaedah fiqh ini masih terpakai :-

أن اليقين لا يزال بالشك

Ertinya : Keyakinan tidak akan diketepikan hanya kerana suatu syak ( iaitu tidakpasti kebenarannya) ( Al-Majmu, Al-Nawawi, 1/266 )

Perlu difahami hukum asal harus berurusniaga dan membeli dari bukan Islam dan Yahudi adalah termasuk dalam bab yakin, ia tidak akan tergugat hanya dengan khabar-khabar angin penglibatan mereka dalam aktiviti serangan ke atas Islam. Keyakinan asal tadi hanya akan berubah bila dua sebab yang disebut di atas muncul. Wallahu'alam.

Kesimpulan umum :

Harus jual beli, guna khidmat dan makan di McDonald, KFC, TESCO, JUSCO, MAXIS, INTEL dan lain-lain produk walauapun berasal dari Yahudi atau Non-Muslim selagi mana : -

a) produk mereka disahkan bersih dan halal oleh JAKIM ( jika di Malaysia ) serta tempoh lesen masih hidup,

b) cara transaksi dan urusniaga yang dibuat adalah bertepatan dengan Islam,

c) tiada sebarang perintah oleh kerajaan yang berwajib untuk memboikot mereka bagi mencapai sesuatu maslahat kebaikan untuk Islam,

d) tiada sebarang bukti secara bertulis dan penghebahan rasmi syarikat bahawa mereka membantu dan menyumbang khas kepada serangan ke atas Islam, yang mana ia dibuat atas nama syarikat dan bukan salah seorang individu dalam syarikat sahaja.

Walaubagaimanapun, mendapat pahala bagi sesiapa yang melakukan boikot terhadap mana-mana barangan atau syarikat didasari oleh keyakinannya terhadap hasil kajiannya sendiri yang mendapati penglibatan yang tidak sihat tadi itu ada pada syarikat atau mana-mana pengeluar barangan. Tatkala itu, boikot adalah wajib ke atas dirinya sahaja dan digalakkan bagi sesiapa yang yakin dengan info yang dikeluarkannya.

Digalakkan juga umat Islam mengutamakan sayarikat Islam dan barangan keluaran Islam bagi membantu peningkatan ekonomi umat Islam. Ia juga adalah salah satu fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Saudi. Wallahu'alam.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

No comments:

 
Blog@nEp$ter
Direka oleh (hanif575)